Thursday, 25 September 2014



(SEJARAH KEMASUKAN ISLAM DI BORNEO)


Islam di Brunei bermula pada kurun ketujuh


BRUNEI adalah sebuah negara tertua di antara kerajaan di kepulauan Tanah Melayu. Dalam catatan sejarah China, Brunei dikenali dengan nama Po-li, Po-lo, Poni atau Puni dan Bunlai manakala catatan Arab pula, Brunei terkenal dengan nama Dzabaj atau Randj.

Catatan tradisi lisan yang diperoleh dari Syair Awang Semaun yang menyatakan Brunei berasal dari perkataan baru ‘nah’ iaitu setelah rombongan klan atau suku Sakai yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei mencari tempat untuk mendirikan negeri baru.
Replika stupa yang ditempatkan di Pusat Sejarah Brunei menjelaskan bahawa agama Hindu-Buddha pada suatu masa dahulu pernah menjadi anutan penduduk Brunei.
Beberapa penemuan replika batu nisan P’u Kung Chih Mu, batu nisan Rokayah binti Sultan Abdul Majid ibni Hasan ibni Muhammad Shah Al-Sultan dan batu nisan Sayid Alwi Ba-Faqih (Mufaqih) pula menggambarkan tentang kedatangan agama Islam di Brunei.
Ia dipercayai dibawa oleh musafir, pedagang dan mubaligh-mubaligh Islam sehingga agama Islam itu berpengaruh dan mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan dan keluarga kerajaan Brunei.
Dakwah Islam dikatakan tersebar ke negara itu sekitar kurun ketujuh menerusi pedagang dan pendakwah Arab. Kedatangan Islam membolehkan rakyat Brunei menikmati sistem kehidupan lebih tersusun dan terhindar daripada adat bertentangan dengan akidah tauhid.
Awang Alak Betatar ialah Raja Brunei yang pertama memeluk Islam pada 1368 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah.
Beliau terkenal sebagai pengasas kerajaan Islam di Brunei dan Borneo. Pedagang dari China yang pernah ke Brunei menggelar beliau sebagai Ma-HaMo-Sha. Beliau meninggal dunia pada 1402.
Dakwah
Beliau dipercayai mendalami Islam daripada Syarif Ali iaitu pendakwah yang berasal dari Taif yang dikatakan berasal dari keturunan Ahlul Bait yang bersambung dengan keluarga Rasulullah melalui cucu Baginda, Saidina Hassan.
Pendekatan dakwah Syarif Ali tidak sekadar menarik hati Awang Alak, malah dakwahnya menambat hati rakyat Brunei. Dengan kebaikan dan sumbangan besarnya dalam dakwah Islam di Brunei, beliau dikahwinkan dengan puteri Sultan Muhammad Shah.
Selepas itu, beliau dilantik menjadi Sultan Brunei atas persetujuan pembesar dan rakyat tempatan.
Sebagai pemimpin dan ulama, Syarif Ali gigih mendaulatkan agama Islam antaranya membina masjid dan melaksanakan hukum Islam dalam pentadbiran negara. Selepas tujuh tahun memerintah Brunei, pada 1432, Syarif Ali meninggal dunia dan disemadikan di Makam Diraja Brunei.
Satu lagi catatan bersejarah yang membuktikan penyebaran Islam di Brunei adalah Batu Tarsilah. Catatan pada batu ini menggunakan bahasa Melayu dan huruf Arab.
Dengan penemuan itu, ia mengukuhkan bukti kedatangan pedagang Arab ke Brunei dan sekitar Borneo untuk menyebarkan dakwah Islam.
Kegiatan membina masjid untuk dijadikan pusat kegiatan keagamaan dan penyebaran Islam sentiasa dititikberatkan oleh pemerintah Brunei. Terbaru adalah pembinaan Masjid Jamek Asr Hassanil Bolkiah yang kini menjadi mercu tanda dan keagungan dakwah Islam di Brunei.
Ia dirasmikan pada 14 Julai 1994 dan mampu menampung lebih 3,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang terletak berhampiran Perkampungan Ayer di Sungai Kedayan, Brunei mula dibina pada 4 Februari 1954 atas hasrat dan cita-cita Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1958, pembinaannya siap sepenuhnya.
Dakwah Islam yang bertapak kukuh di Brunei turut mempengaruhi wilayah lain termasuk ke Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Brunei Darussalam, negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja banyak menyumbang kepada penyebaran dan pengukuhan Islam di wilayah Borneo, Indonesia.




Sejarah Islam Di Sarawak
1476M
  • Kemasukan Islam di Sarawak berkait rapat dengan perkembangan Islam di Brunei.
  • Zaman Kegemilangan Kesultanan Brunei, Sarawak adalah sebahagian dari tanah jajahan takhluk Brunei.
  • Pengislaman Awang Khalak Betatar di negeri Johor yang berketurunan dari suku Bisayah , Limbang menandakan bermulanya perkembangan Islam di Sarawak

1599M
  • Pertabalan Sultan Tengah sebagai Sultan Sarawak Daru Hana dianggap sebagai detik rasmi bertapaknya Islam di Sarawak.
  • Para Sharif berketurunan Arab telah di lantik sebagai wakil Sultan Brunei ketiga iaitu Sultan Ali Bilfalih bagi menjalankan pemerintahan di beberapa buah wilayah naungan Kesultanan Melayu Brunei di Sarawak, contohnya Sharif Ja’afar di Lingga, Sharif Maulana di Kalaka Sharif Shabudin dan Sharif Shahab di Sadong

1841M
  • Sarawak (Kuching) telah diserahkan sepenuhnya kepada James Brooke pada 24 September 1841 akibat daripada pertelingkahan kuasa dalam Kesultanan Melayu Brunei
  • Kelemahan pemerintahan pusat Brunei telah menyebabkan perluasan kuasa oleh keluarga Brooke bermula dengan Kuala Samarahan (1846), Sadong, Lingga, Skrang, Saribas dan Simanggang (1953), Rajang hingga ke Bintulu (1861, Miri dan Baram (1883), Lawas (1885) dan Limbang (1890)

1852M-1886M
  • Jawatan dan gelaran para pembesar Melayu seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, Datu Temenggong, Datu Hakim dan Datu Imam diwujudkan semula oleh keluarga Brooke bagi memenangi hati umat islam.
  • Fungsi-fungsi jawatan dan gelaran tersebut dikawal dan dihadkan oleh Brooke.
  • Pemerintahan Brooke bukan sekadar menguasai pemerintahan, namun beliau juga mencampuri urusan perundangan agama umat Islam.

1870M
  • Brooke telah menubuhkan Native Mohammaden Probate and Divorce Court  bagi menyelesaikan masalah perkahwinan, perceraian dan kematian untuk umat Islam Sarawak.

1915M
  • Undang-undang bertulis untuk mentadbir orang Islam Sarawak dikuatkuasakan yang dinamakan sebagai Undang-Undang Mahkamah Melayu Sarawak (UMMS).
  • Undang-undang tersebut mengutamakan perkara-perkara seperti pertunangan, perkahwinan, perceraian dan salah laku seksual di kalangan orang Melayu.



1932M-1956M
  • UMMS telah dipinda untuk meluaskan peranan bagi bergerak ke arah penerimaan Islam secara meluas dimana jawatan Musfti telah diwujudkan pada tahun 1941M.

1945M
  • Selepas kekalahan pihak Jepun dalam Perang Dunia Kedua, Vyner Brooke telah mengambil keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada British atas tekanan daripada Kerajaan British.
  • Agama Islam tidak mengalami perkembangan seperti yang diharapkan di bawah pemerintahan British

1954M-1955M
  • Penubuhan Majlis Islam dan Adat Istiadat Melayu Sarawak dibawah Majlis Islam In-Corporation Ordinance, 1954.
  • Namun begitu majlis ini masih juga tidak mendapat peruntukan daripada pihak British dan disamping majlis tersebut juga mempunyai tenaga kerja yang sedikit dan sumber kewangan yang sangat sedikit.




Teori Awal Kedatangan Orang Melayu dan Kemasukan Agama Islam ke Sarawak

 Sebelum orang Barat mengenali Pulau Borneo (Kalimantan) pada abad ke-16, kerajaan Brunei telah lama wujud dan keseluruhan wilayah Kalimantan diletakan di bawah pemerintahannya. Perkataan ‘Borneo’ diambil daripada ejaan Barat bagi perkataan ‘Brunei’. Sarawak merupakan salah satu daripada kawasan jajahan Brunei di Kalimantan. Brunei pada pertengahan abad ke-16 dikenali sebagai sebuah pusat perdagangan bebas yang terkenal di kepulauan Melayu sebelum kewujudan Melaka. Tradisi sejarah Brunei asalnya adalah merujuk kepada kerajaan Johor atau kesultanan Riau-Johor yang telah memainkan peranan penting dalam mengislamkan Brunei sebelum menerima pengaruh Portugis pada tahun 1511, menakluki Melaka.
            Sebelum kedatangan James Brooke ke Sarawak, kawasan dan bentuk topografinya tidak mendapat perhatian daripada para pengembara Barat. Hanya pada tahun 1530, seorang pengembara portugis, Gonsavo Periera telah menyebutkan tentang sebuah tempat yang diberi nama ‘Cerava’ yang sangat penting sebagai pelabuhan dan menjadi kediaman utama kepada pedagang-pedagang kaya. Justeru, Santubong yang terletak di muara sungai Sarawak telah menjadi sebuah pusat perdagangan yang menjalinkan hubungan perdagangan dua hala dengan India dan China lewat abad ke-7 Masihi. Terdapat sesetengah sarjana yang percaya bahawa hubungan ini bermula sejak awal abad ke-7. Eksport utama dari Santubong adalah emas, lantas pada abad ke-10 dan ke-11, kedudukan Santubong sebagai pelabuhan semakin berkembang maju dan negeri-negeri di sekelilingnya menjadikan Santubong sebagai pelabuhan untuk menyalurkan barangan dagangan masing-masing.
            Walaupun, masih kekurangan maklumat tentang sejarah Sarawak sebelum abad ke-19, perbincangan mengenai sejarah awal kedatangan orang Melayu adalah berteraskan kepada teori-teori yang dikemukakan oleh para sarjana, penemuan arkeologi dan tumpuan terhadap kesultanan Brunei kerana Sarawak merupakan tanah jajahan Brunei. Begitu juga soal mengenai kemasukan Islam ke Sarawak. Teori-teori yang dikemukakan para sarjana menjadi asas perbincangan iaitu bilakah Brunei memeluk agama Islam maka, akan dapat ditentukan tempoh masa Islam mula bertapak di Sarawak.
            Dari perspektif arkeologi, para ahli arkeologi telah membuat galicari di beberapa buah tapak di kawasan nusantara. Di antara tapak galicari yang menjadi tumpuan arkeologis termasuklah Gua Niah, Sarawak. Melalui ujian karbon yang digunakan, dapat mengesan usia dan umur sesuatu benda telah dijalankan ke atas kerangka-kerangka purba yang ditemui di Gua Niah. Berdasarkan keputusan ujian itu, para ahli arkeologi telah merumuskan bahawa orang Melayu telah mendiami kawasan itu sejak 30,000 tahun dahulu iaitu sejak zaman mesolitik lagi. Penemuan ini telah membuktikan bahawa Gua Niah yang terletak di Daerah Subis, merupakan tempat pertama didiami oleh orang Melayu dan faktor penarikan awal kedatangan orang Melayu di Sarawak. Bukti-bukti yang berusia lebih kurang 40,000 tahun ini menunjukkan bahawa sudah ada penempatan awal manusia sejak sekian lama.
            Teori Melayu Proto berasal dari Yunnan disokong oleh R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Haji Omar. Melayu Proto (Melayu asli) yang pertama sekali datang mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian sementara golongan kedua, Melayu Deutro yang tiba sekitar tahun 1500 S.M dan mendiami pesisir pantai mempunyai kemahiran menangkap ikan yang tinggi. Semasa berlakunya migrasi itu, kedua-dua golongan berkahwin dengan masyarakat-masyarakat dari pulau-pulau selatan seperti Jawa, serta penduduk tempatan yang berasal dari keturunan Australasia dan Negrito. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa pihak yang tidak mempersetujui teori ini. Antara bukti-bukti lain yang menyokong teori ini termasuklah alatan-alatan batu yang dijumpai di Kepulauan Melayu sama dengan alatan-alatan dari Asia Tengah. Persamaan adat resam Melayu dan Assam. Bahasa Melayu dan bahasa Kemboja adalah serumpun kerana tempat asal orang-orang Kemboja berasal dari sumber Sungai Mekong.
            Menurut Heine-Geildern, orang Melayu datang dari daerah Asia Tengah atau Yunan. Mereka telah turun dalam bentuk penghijrahan atau dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia merentasi banjaran gunung dan jambatan tanah ke daerah nusantara kira-kira pada 5000 tahun sebelum masihi. Gelombang pertama kedatangan orang Melayu iaitu ‘Melayu Proto’ yang dikenali sebagai golongan pendatang pertama yang tinggal di dalam gua-gua, gunung ganang, pendalaman atau daratan. Melayu pertama ini merupakan orang asli yang masih terdapat di negara kita pada masa kini seperti kaum Semai, Temuan dan Jakun. Manakala, menurut beliau lagi, pendatang yang kedua dikenali sebagai ‘Melayu Deutro’ yang tinggal di kawasan pesisir. Gelombang kedua ini mempunyai ketamadunan dan kebudayaan yang lebih tinggi. Golongan ini merupakan orang Melayu moden masa kini.
            Seorang lagi ahli arkeologi Barat iaitu Peter Bellwood yang bersetuju tentang kedatangan awal dan arah penghijrahan orang Melayu dari Asia Tengah ke kawasan-kawasan yang kemudiannya menjadi wilayah budaya Melayu. Beliau berpendapat bahawa penghijrahan yang berlaku secara beberapa gelombang manusia yang berlaku pada 5000, 3000 dan 1500 tahun sebelum masihi. Penghijrahan pertama telah membawa gelombang pertama ke arah Taiwan. Ketamadunan orang Melayu yang berhijrah ke Taiwan mulai meningkat dengan peredaran masa dan zaman. Mereka telah mempunyai kemajuan dalam bidang pembinaan kenderaan-kenderaan laut. Lantaran itu, keadaan ini telah membawa mereka untuk berhijrah dari sebelah timur ke sebelah selatan dengan berdayung ke kepulauan Filipina. Ada di kalangan mereka yang tersasar ke daerah Kepulauan Pasifik dan Kepulauan Jawa. Namun, penghijrahan kemudiannya telah membawa orang Melayu ke Kepulauan Borneo serta ke sebelah utara tanah Melayu.
            Teori penyebaran agama Islam di gugusan kepulauan Melayu mengutamakan perdagangan sebagai faktor penting dalam proses asimilisasi negara-negara di Asia Tenggara. Walaupun, para sarjana pada umumnya berpendapat bahawa pedagang-pedagang Arab yang mula-mula sekali membawa Islam ke kawasan Timur sekaligus mengukuhkan lagi bukti bahawa proses penyebaran agama Islam selanjutnya yang memainkan peranan utama adalah pedagang-pedagang peribumi sendiri. Dua pelabuhan di gugusan Kepulauan Melayu yang terkemuka dari abad ke-15 hingga ke-17 ialah Melaka dan Acheh. Hubungan kedua-dua pelabuhan adalah sangat erat dengan Kalimantan. Di Kalimantan, pelabuhan yang utama iaitu Brunei. Namun, hubungan perdagangan awal telah pun wujud antara China dan Kepulauan Melayu. Kehadiran pedagang-pedagang Cina di Brunei (disebut sebagai Po-ni atau Bo-ni) pada zaman sung (T.M. 960-1279) terbukti kerana terjumpa batu nisan di Rangas, Bandar Seri Begawan.
            Kalimantan juga terdedah kepada pengaruh dari tempat-tempat lain seperti Sulu dan Jawa. Kedua-dua tempat ini telah menerima pengaruh Islam pada abad ke-15. Tetapi, memandangkan terdapatnya pedagang Cina yang datang ke Nanyang yang beragama islam dan kedatangan rombongan Cina pada zaman Maharaja Yung Lo yang dipimpin oleh Laksamana Cheng Ho. Beliau yang sudah sinonim dalam sejarah ketamadunan Melayu yang merupakan seorang Islam telah banyak memberikan kesan terhadap negara-negara di kepulauan Melayu. Kedaan ini telah memperlihatkan betapa China memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama Islam di rantau nusantara sehingga ke Kepulauan Borneo khususnya Sarawak.
            Proses pengislaman di Kepulauan Borneo lebih tepat lagi Sarawak sememangnya kompleks. Sarawak pada ketika itu di bawah pengaruh kesultanan Brunei. Ruang lingkup perbicaraan dilihat pada bilakah pemerintah Brunei mula-mula memeluk agama islam. Mengikut tradisi Kesultanan Brunei diasaskan pada kitab yang dikenali sebagai Salasilahatau Tarsilah. Seperti Sejarah Melayu terdapat beberapa versi kitab itu. Menurut tradisi Brunei, pemerintah pertama yang memeluk agama Islam bernama Awang Alak Betatar. Dengan itu baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad. Baginda memeluk agama Islam selepas lawatannya ke Johor dan perkahwinannya dengan Puteri Johor.
            Sama seperti teks-teks Melayu Klasik di Tanah Melayu, Tarsilah tidak mempunyai tarikh yang tepat. Terdapat sesetengah sarjana yang mengatakan pemerintahan Sultan Muhammad dikatakan bermula pada awal abad ke-15. Walaubagaimanapun, tarikh ini sukar untuk diterima kerana kerajaan Johor pada masa itu belum lagi wujud. Hal ini telah menimbulkan persoalan dan mungkin bukan Johor yang mengislamkan Awang Alak Betatar. Berdasarkan maklumat Ming Shi Lu (Rekod Wangsa Ming), pemerintah Melaka sendiri yang memeluk agama Islam lebih kurang pada tahun 1414 yang merupakan tempoh Megat Iskandar berada di China yang sudah diketahui pada ketika itu pemerintah Melaka yang melawat China memakai gelaran Parameswara atau Permaisura.
            Dalam sebuah kajian mengenai kesultanan Brunei hasil penulisan W.P.Groeneveldt dalam bukunya Notes on The Malay Archipelago and Malacca Compiled From Chinese, Batavia, 1876, dapat memberikan tarikh yang sama iaitu 1371 apabila Sultan Muhammad Shah menghantar utusan ke China. Menurut sumber berkenaan, yang menjadi mubaligh Islam ke Brunei pada zaman Awang Alak Betatar iaitu Syarif Ali telah datang ke Brunei sebelum T.M 1375.
            Seorang sejarawan Barat, Tom Harrison turut berpendapat bahawa tarikh kedatangan Islam ke Kalimantan Barat dan Utara yang tidak jauh berbeza dengan rekod Ming. Kajian beliau  adalah berdasarkan kepada tiga jenis bahan; pertama, sebuah buku Teks Idahan dari Sabah; kedua, Tarsilah Brunei dan ketiga; Tusut atau salasilah kaum Iban. Teks Idahan merupakan suatu salasilah yang tetumpu kepada Abdullah, dikatakan orang pertama yang memeluk agama Islam, pada tahun T.M 1408. Manakala, dalam Tarsilah Brunei pula, Harrison berpendapat bahawa pemerintahan Brunei telah memeluk agama Islam pada tahun T.M. 1350. Tusut kaum Iban menurut beliau pula bermula dengan Merom Pangai yang mengikut kepercayaan orang Iban yang berasal dari bahagian barat Sarawak. Bermula daripada Merom Panggai dalam Tusut, digalurkan keturunannya sehingga 27 generasi. Keturunan generasi ketiga Merom Panggai bernama Abang Musa yang telah bermastatutin di Sumatera dan menjalankan kegiatan perdagangan sehingga ke Brunei. Hal ini telah membuktikan bahawa Abang Musa hidup di sekitar 1380 Masihi tarikh yang telah dikenal pasti oleh Harisson sebagai ‘The First significant Muslim Impacts on Brunei’ berasaskan Teks Idahan dan Tarsilah Brunei.
            Harisson sendiri masih tidak berpuas hati dengan kesimpulan yang telah diberikan olehnya. Seharusnya, dibezakan di antara penemuan, kesan dan pengislaman orang Melayu keseluruhannya yang terus dipolemikan oleh para sarjana. Sebagaimana yang disedari oleh Tom Harrison, ketibaan Islam dan pengislaman masyarakat perlu dibezakan. Dalam konteks Sarawak jelas memberikan gambaran bahawa senario asimilisasi di sekitar kesultanan Brunei tidak memberikan makna bahawa gambaran yang begitu jelas tentang senario yang berlaku di Sarawak khususnya.
            Teori kedatangan Islam ke Sarawak diperkukuhkan lagi menurut Low iaitu seorang sejarawan Barat yang mengatakan bahawa terdapat bukti daripada tradisi penduduk Kalimantan serta kitab-kitab Jawa bahawa penduduk Jawa adalah pendatang yang paling awal menetap di kawasan selatan dan barat Pulau Kalimantan sehingga sampai ke sebelah utara iaitu Sarawak. Pada ketika itu, Jawa dikuasai oleh kerajaan Majapahit. Setelah kejatuhan kerajaan majapahit pada penghujung abad ke-15, Islam telah muncul sebagai agama yang dominan di Pulau Jawa. Justeru, beliau telah menyimpulkan bahawa sekurang-kurangnya sebahagian daripada penduduk Jawa yang datang ke Kalimantan bermula pada abad ke-16 terdiri daripada orang Islam.
            Berdasarkan teori yang dijelaskan, orang Melayu beragama islam yang paling awal datang ke Sarawak terdiri daripada penduduk dari Sumatera dan Semenanjung. Hal yang demikian mungkin disebabkan tradisi Sarawak yang merujuk kepada kerajaan Johor sebagai punca kedatangan Islam di samping,  kewibawaan kedudukan Datu Merpati. Dalam perihal ini, perlu diperhatikan bahawa keturunan penghijrahan yang awal datang adalah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pemerhati Barat pada abad ke-19, biasa dikenali sebagai ‘orang Melayu’ yang sememangnya mereka adalah beragama Islam.
            Soal pokok yang masih belum dikenalpasti adalah bila Islam mula bertapak di bumi Sarawak. Harus dipertimbangkan dari perspektif pengaruh Brunei ke atas Sarawak sebelum tahun 1317. Kedatangan orang Melayu dari Sumatera, mempunyai kebarangkalian yang lebih tepat kerana tempoh kedatangan yang lebih awal berasaskan pengetahuan mutakhir iaitu Sumatera lebih dahulu menerima Islam daripada Brunei atau Melaka.
            Melalui pembicaraan tentang teori awal kedatangan orang Melayu ke Sarawak dapat diperlihatkan tentang ketertinggian tamadun yang dimiliki oleh orang Melayu sejak Zaman pertengahan lagi. Ketamadunan awal ini menjadi asas kepada pembentukan dan perkembangan pelbagai proses dalam kehidupan masyarakat Melayu. Tahap yang seterusnya iaitu setelah orang Melayu menerima pengaruh Islam menunjukan bahawa mereka telah mengalami satu pencapaian yang sangat membanggakan. Justeru, generasi ‘muda’ Melayu era kini seharusnya tidak melupakan asal usul mereka demi memartabatkan ketuanan orang Melayu di tanah air sendiri.



Asal usul nama Sabah

Asal-usul nama ‘Sabah’ dipercayai berasal daripada sejenis tanaman iaitu pisang yang dikenali sebagai Pisang Saba iaitu sejenis buah pisang yang dipanggil "SABBAH " atau "SAPPAH" oleh masyarakat Bajau yang sangat popular dibuat pisang goreng. Pisang ini banyak ditanam di sepanjang pantai barat Sabah sebagai sumber makanan. 'Pisang saba' juga dikenali sebagai 'jaba' oleh masyarakat Bajau di negeri tersebut. Kini 'pisang saba' lebih dikenali sebagai pisang menurun.
Nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi. Dalam peta Portugis Melaka 1604, Kota Kinabalu disebut sebagai Api-Api.
Setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara' secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 ketika pembentukan Malaysia.
Catatan puisi Jawa Nagarakertagama yang dikarang oleh Prapancha pada tahun 1365 menyebut Sabah sebagai 'Seludang'. Dalam catatan Marco Polo sewaktu beliau singgah di Borneo, Sabah ketika itu dikenali sebagai "BURNI" yang mungkin merujuk kepada Brunei.


MEMAHAMI SEJARAH AWAL KEDATANGAN ISLAM KE SABAH, NEGERI DI BAWAH BAYU


1. Permulaan Dakwah Islam di Sabah.



Bermula pada era penjajahan British iaitu kira-kira abad ke-14 yang lalu.
Pendakwah Islam yang pertama datang ke Sabah berasal dari Sulawesi dan menyebarkan Islam di Lahad Datu. Buktinya terdapat manuskrip dalam bahasa Ida’an yang mengesahkan kedatangan Islam yang awal berlaku di Lahad Datu.

Antara nama-nama Pendakwah : a) Mandur Syarif 
-Menyebar Islam di Daerah Ranau 

b) Ustaz Zaini Al-Palembangi
-Daerah Lahad Datu

2. Sebab kewujudan gerakan Islam di Sabah.

• Tuntutan agama Islam sendiri, iaitu Islam wajib disebarkan kepada orang lain, Islam dan bukan Islam.
• Bersaing dengan mubaligh-mubaligh Kristian yang datang untuk menyebarluaskan ajaran Kristian.
• Pedagang-pedagang yang datang dari Indonesia, Filipina dan Brunei berdagang ke Sabah, seperti ke Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Mereka pada mulanya berhubungan dengan penduduk setempat untuk berurus niaga, akan tetapi dengan keramahan dan kemuliaan hati budi yang ditunjukkan oleh para pedagang, akhirnya menambat hati penduduk kampung di daerah-daerah tersebut.

Kesan-kesan adanya aktiviti Dakwah di Sabah:

• Persatuan Islam Tawau (tahun 1950-1960-an)
• Persatuan Islam Putatan (tahun 1950-1960-an)
• Sekolah Agama At-Thudiniyyah, Kg. Buang Sayang, Papar (tahun 1956)
(Diasaskan oleh Allahyarham Datuk Salleh Ibrahim)
• Selepas Merdeka - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (U.S.I.A)1959
Tujuan penubuhan U.S.I.A : Menyatukan semua pertubuhan-pertubuhan Islam.
• Political Strategy(Pemerintah ketika itu Parti USNO)Menyebarkan Islam kerana Pemerintah adalah beragama Islam.
• Untuk capai status Negeri Islam, mesti penduduknya seramai 60% beragama Islam.
• Agama Islam sebagai agama rasmi di Negeri Sabah telah mendapat kelulusan daripada Dewan Undangan Negeri pada tahun 1971.
• Rentetan daripada itu, Majlis Ugama Islam Sabah telah ditubuhkan pada 1791 bagi mengurus tadbir hal ehwal Islam. 




3. Agama-agama lain di Sabah

• Kristian
• Buddha
• Hindu
• Sikh
• Pagan


4. Purata penduduk bukan Islam di Sabah

Kira-kira seramai 40% daripada penduduk keseluruhan di Sabah.


9. Purata penduduk bukan Islam yang memeluk Islam setiap tahun mulai tahun 2000 ialah kira-kira 1,300 orang – 2,000 orang.




Menjejak Sejarah Kedatangan Islam ke Pantai Barat Sabah


Terdapat banyak pintu masuk kedatangan Islam di negeri Sabah. Diantaranya ialah melalui Kuala Sungai Dumpil yang terletak pada grid GPS 5º54’0”N dan 116º2’5”E.
Kenapa? Tak percaya?
Tercatit dalam sejarah Sabah bahawa Islam tiba di Pantai Barat Sabah pada awal tahun 1900an. Namun ada beberapa masjid yang telah dibina pada awal tahun 1800an. Diantaranya ialah Masjid Kampung Ulu Putatan yang dibina sekitar awal tahun 1800an yang juga antara masjid tertua yang masih wujud di Putatan. Samada Masjid Kampung Ulu Putatan ini adalah yang tertua di Sabah berbanding dengan Masjid Hasabollah at-Tahiri di Sandakan yang dibina pada lewat tahun 1800an, hanya ujian ”carbon dating” sahaja yang boleh mengesahkan usianya.
Apakah kaitan Masjid Kampung Ulu Putatan dan Kuala Sungai Dumpil?
Mengikut ceritanya, pada awal tahun 1730an seorang pemuda bernama ”Dumpil” bersama rakannya bernama Qutub tiba daripada Brunei telah sampai ke sebuah kuala sungai (Sungai Dumpil) dan mendapati kawasan tersebut amat hijau dan kurang berpenghuni. Setelah mendayung mengikut sungai, beliau tiba di Bukit Kalam, Putatan untuk persinggahan. Sungai yang dilalui ini bertemu dengan Sungai Putatan di belakang bukit tersebut. Oleh kerana kedua-dua sungai tersebut datang daripada satu punca sungai daripada Gunung Bongkok, maka beliau menyusur mengikut arus keluar Sungai Putatan dan mendapati sebuah kawasan lapang tidak jauh daripada Bukit Kalam yang sesuai dengan tanaman seperti bersawah padi. Kawasan tersebut sekarang dikenali sebagai Kampung Ulu Putatan dan menjadi lokasi yang sesuai untuk mendirikan perkampungan.
Siapakah pemuda bernama ”Dumpil” tersebut? Mengikut cerita, beliaulah orang pertama bergelar diri sebagai Raja Dumpil di Sabah selain daripada Kesultanan Brunei pada masa itu iaitu Sultan Hussin Kamaluddin. Mengikut cerita, Sultan Hussin Kamaluddin pernah datang ke Sabah semasa pemerintahannya setelah mendengar khabar bahawa ada seorang Raja di Sabah yang memerintah sebuah kawasan walaupun Sabah ketika itu berada di bawah Kesultanan Brunei. Setelah menyamar diri, didapati bahawa orang yang bernama Raja Dumpil itu adalah anaknya sendiri iaitu Pangeran Anak Untung. Sultan Hussin Kamaluddin kemudiannya kembali ke Brunei tanpa ragu.
Makam Allahyarham Pangeran Anak Untung ibni Al-Marhum Sultan Hussin Kamaluddin berada di lokasi grid GPS 5º52’45”N dan 116º3’1”E adalah bukti sejarah kedatangan Islam di Putatan sekitar awal 1730an.
Sebagai rekod, rakan Pangeran Anak Untung iaitu Qutub atau bergelar Pendekar Qutub, disemadikan di Bukit Mantukod (sekarang dipanggil Pulau Mantukod).
Kuala sungai yang tidak dikenali pada masa kedatangan Pangeran Anak Untung juga telah dinamakan sebagai Kuala Sungai Dumpil. Peta awal British lewat tahun 1800an menunjukkan sebuah tempat bernama Dumpil Point wujud dalam peta Sabah pada masa itu.
Pengkaji sejarah kedatangan Islam ke Sabah amat dialu-alukan untuk mengesahkan kesahihan maklumat ini untuk menjawab bila sebenarnya kedatangan Islam di Pantai Barat Sabah.

LAMPIRAN








Disediakan oleh Danial Redzuan, Fredie Kirim, dan Jainttere Mutang 
Program DKM1A (Pengajian Malaysia DUB 1012)